1) Apakah langkah yang perlu diambil oleh pemilik, jika mereka bercadang untuk mengubah suai rumah?
sekiranya pemilik ingin mengubah suai rumah, pemilik perlu tahu dan mengambil langkah beberapa perkara seperti berikut:
Pertama: siasat dan mengambil tahu terlebih dahulu sama ada pemilikan (unit rumah) tersebut boleh di ubah suai atau tidak. Ini kerana lain daerah, lain syarat nya yang dikenakan oleh pihak majlis tempatan. Rujuk kepada majlis perbandaran dan juga pihak pengurusan kediaman (untuk kediaman jenis berpagar dan bertingkat)
Syarat-syarat ini diwujudkan biasanya untuk memastikan keselamatan dan hak orang lain di sekeliling rumah kita. Misalnya bagi rumah di bahagian tepi, tidak boleh di tambah sehingga ke sempadan tanah kerana ia membahayakan keselamatan orang lain dan juga tuan rumah. Bayangkan situasi di mana boleh berlakunya kemalangan sebuah kenderaan di mana ia terbabas dan melanggar kediaman anda yang ditambah sehingga ke tepi jalan raya untuk kegunaan ramai.
Kedua: rancang dengan teliti tentang ruang yang ingin diubahsuai agar tidak menyusahkan dikemudian hari seperti terpaksa memecahkan semula atau menutup kembali ruang atau bukaan yang telah dibuat. Ia bukan sahaja memakan masa, malah memakan kos dan menyebabkan pembaziran serta kerugian.
Ketiga: dapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang bertauliah (professional) agar hak-hak pemilik terjamin dan mendapat kualiti dalam pembinaan yang terhasil. Ia juga bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan bahaya di kemudian hari akibat pembinaan yang dibuat tidak mengikut undang-undang atau cara yang betul. Misalnya berlaku runtuhan lantai pada ruang tambahan dan mengakibatkan penghuni terkena runtuhan tersebut. Elakkan malang sebelum ia berlaku.
Keempat:rancang kewangan sebaiknya agar tidak membebankan. boleh juga lakukan ubahsuai sedikit demi sedikit. asalkan tidak membebankan. bertahan dahulu dengan ruang yang ada jika kita tidak mempunyai modal. sebaiknya elakkan pinjaman bank.
2) Selalunya, berapakah kos untuk mengubah suai rumah? (anggaran caj yang selalu dikenakan)
Kos ubah suai rumah ini sebenarnya bergantung 3 perkara asas seperti berikut:
a) bahan yang digunakan
Bergantung kepada pemilihan bahan, bahan yang digunakan ada bahan yang berharga murah, sederhana dan juga mahal serta ada di kategori mewah. Terpulang kepada pemilik inginkan bahan yang bagaimana. Misalnya dari segi penggunaan lantai jubin. Ada yang hanya mampu simenkan sahaja lantai tersebut. Ada yang boleh belanja sedikit wang untuk pasangkan lantai jubin yang biasa. Namun ada juga yang inginkan lantai jubin yang selesa, menarik dan cantik. Jadi ia memakan kos yang agak tinggi. Selain itu, ada juga pemilik yang tidak mahu menggunakan lantai jubin malah mahu menggunakan lantai kayu yang agak mahal dan tahan lama. Kesimpulannya, bahan binaan dan bahan kemasan banyak memainkan peranan dalam menentukan kos pembinaan.
b) rekabentuk yang dipilih
Setiap rekabentuk mempunyai nilainya yang tersendiri. Jika hanya menambah lantai ,dinding dan bumbung mungkin satu ruang boleh mendapatkan harga standard. Namun jika inginkan ruang yang agak unik seperti mempunyai bukaan pada ruang tertentu, dinding berlubang hiasan, lantai bertingkat, dan sebagainya yang agak unik dan pelik mengikut kehendak pemilik, kos ubahsuai akan meningkat mengikut tahap kesukarannya.
Kini sudah ada ramai perekabentuk kediaman. Adalah penting untuk mendapatkan khidmat modeler iaitu mereka menaikkan kediaman secara membuat model fizikal atau model 3d alam maya yang boleh dilihat pada screen atau di cetak pada kertas. Ia bagi memastikan pemilik mendapat kepuasan rekabentuk selain melihat secara 2 dimensi. Kebiasaannya ini di sediakan sekali oleh arkitek atau mereka yang berada di arena rekabentuk ini.
c) perkhidmatan yang dilantik
Ramai orang yang suka untuk mengupah tukang yang dikenali di kawasan masing-masing. Pelan ubahsuai kemungkinan di buat oleh pemilik sendiri atau pun oleh tukang tersebut. Tukang sebenarnya boleh melakukan kerja yang sudah biasa dibuat olehnya. Idea juga terbatas.
Sekiranya melantik mereka yang pakar dalam soal rekabentuk dan bahan, pemilik boleh mendapatkan hasil kerja yang dikehendaki malah kemungkinan ia menjadi jauh lebih baik. Walaupun upah melantik mereka yang bertauliah agak tinggi berbanding upah, namun itulah kos mereka memerah idea dan membuat sedikit kajian khas untuk kediaman pemilik tersebut. Ia ibarat tidak ada sesiapa mempunyai kediaman seperti itu melainkan pemilik tersebut sahaja. Lain kediaman lain ciri-ciri dan rekabentuknya. Ia mengikut peribadi dan aktiviti pemilik sekeluarga.
Namun saya ingin nasihatkan tentang beberapa perkara untuk persedian kos ubah suai rumah selain daripada kos bahan, kos upah dan kos rekabentuk.
Perlu ambil kira kos tersembunyi. Kos tersembunyi ini boleh berlaku jika tidak ada rancangan yang teliti atau tidak melantik mereka yang bertauliah. Ia adalah seperti :
a) kos upah tukang untuk memecahkan dinding dan lantai (hacking) bagi pemasangan pendawaian elektrik bagi point elektrik, lampu dan kipas baru
b) kos upah tukang untuk memecahkan dinding dan lantai (hacking) bagi pemasangan sistem perpaipan baru bagi sinki dan tandas baru
dan pelbagai kos lain lagi. Perkara sebegini boleh dielakkan jika mengupah seorang penasihat (consultant) yang bertauliah di mana semasa membuat sebut harga, mereka telah memasukkan sekali kesemua kos yang terlibat. Biasanya perkara sebegini biasa berlaku kepada mereka yang tidak merancang dan mengubah sebarangan.
Ingin saya ingatkan sekiranya tidak ada perjanjian hitam putih dibuat, ia membahayakan pemilik kerana boleh berlaku kontraktor lari, rumah tidak siap dan berlaku penambahan kos. Untuk elakkan situasi begini, pemilik perlu tahu alamat operasi kontraktor dan penasihat yang dilantik.
3) Apakah jenis ubah suai rumah yang ditawarkan di pasaran dan manakah yang paling popular?
Jika bercakap tentang jenis ubah suai rumah yang ditawarkan, ia sebenarnya sangat bebas. Kerana ubah suai adalah mengikut keperluan pemilik. Jadi ia tidak ada ubah suai yang standard melainkan kebiasaannya pemilik membuat permintaan untuk mengubah suai semaksimum yang boleh di atas lot pemilikan mereka sendiri kerana inginkan ruang yang semaksimum besar yang boleh. Kontraktor pula hanya mengikut kehendak pemilik. Namun bezanya dengan perkebantuk, mereka akan menasihatkan pemilik untuk membina binaan yang lebih sesuai berbanding mengikut kehendak pemilik secara bulat.
Jika tentang kategori ubahsuai, saya kongsikan di sini terdapat beberapa kategori ubahsuai yang sering dilakukan oleh masyarakat kita terhadap rumah yang dibeli :
a) ubahsuai dapur (luaskan dapur hingga ke garisan sepadan)
b) ubahsuai anjung kereta (jadikan ruang tamu)
c) ubahsuai balkoni atas menjadi bilik atau ruang rehat keluarga
d) ubah suai courtyard dalam rumah menjadi lantai dan bumbung biasa (taman dalam rumah yang disediakan oleh pemaju)
e) ubahsuai laman belakang jadi tempat sidai baju dan laundry
f) ubahsuai landskap depan rumah jadi jubin lantai
g) pemecahan bilik bagi meluaskan ruang tamu
h) tutup air well bagi penambahan loteng
dan banyak lagi. Namun sebagai salah seorang perekabentuk, ingin saya kongsikan di sini, bahawa setiap pembinaan yang terhasil dari pemaju perumahan sebenarnya telah direkabentuk oleh mereka yang bertauliah. Mereka mengikut undang-undang dan mereka juga merangka keselesaan seperti :
a) air well untuk pencahayaan dan pengudaraan ruang tertutup di tengah rumah teres
b) courtyard di tenagh rumah dibina bagi menggantikan air well yang membosankan
c) ruang belakang untuk menyidai pakaian
dan sebagainya. namun kebanyakkan pemilik yang tidak memahami konsep ini hanya menutup semual kesemua rekaan ini dengan lantai dan dinding di mana ia mengakibatkan rumah jadi pans, bosan dan gelap. Maka perlu berhati-hati ketika membuat pengubahsuaian di dalam dan di luar kediaman.
4) Apakah nasihat atau pandangan Puan, terhadap mereka yang ingin mengubah suai rumah dengan membuat pinjaman bank?
Dari pendapat dan pengalaman saya sendiri, cuba lah elakkan membuat pinjaman untuk mengubah suai kediaman. Masih ada bermacam usaha yang boleh dilakukan. Kumpul dahulu wang dan boleh lakukan satu demi satu ruang dahulu. Tidak ada masalah. Jika sudah ada tabungan seterusnya boleh buat tambahan seterusnya. Namun perancangan rekabentuk dibuat terlebih dahulu sebaiknya.
Jika terdesak dan ingin buat pinjaman, saya tidak boleh menghalang cuma fikirkan akan faedah yang perlu dibayar kerana setiap pinjaman di agensi perbankan, faedah nya akan menjadi berlipat kali ganda dan menyebabkan sepanjang hayat kita perlu membayarnya sedangkan jika berdikit-dikit seperti gunakan konsep menabung tadi, rumah siap, hutang pun tidak ada kerana di bayar secara tunai.
Apa yang oleh saya cadangkan ialah dapatkan perkhidmatan yang boleh dibayar secara ansuran tanpa faedah. Saya sendiri sedang bekerjasama dengan kontraktor yang menyediakan perkhidmatan seperti ini. Boleh membayar secara ansuran dengan harga yang sama tanpa peningkatan. Ia hanyalah bertujuan untuk membantu ramai orang merealisasikan impian walau dengan budget bulanan yang minima.
Saya juga ingin mengingatkan kesemua peminjam bank untuk peminjaman perumahan yang dibuat bagi rumah yang dimiliki, sebenarnya anda tidak boleh sebarang melakukan kerja ubah suai kediaman tanpa pengetahuan pihak bank yang anda buat pinjaman tersebut. Ini kerana rumah tersebut masih menjadi hak milik bank selagi anda tidak menjelaskan keseluruhan kos pinjaman tersebut. Jadi sekiranya berlaku sesuatu ke atas rumah itu, anda mungkin kehilangan hak ke atasnya atau tidak mendapat pampasan. Misalnya, rumah anda terbakar, kemudian apabila penilai datang membuat penilaian, di dapati rumah anda sudah disambung hingga ketepi dan mengakibatkan rumah sebelah yang terbakar merebak kerumah anda pula. Bank boleh mengenakan tindakan kepada anda. Maka kita beringat selagi pinjaman belum dilunaskan, ruamh tersebut adalah rumah bank! bukan rumah kita.
5) Pada pendapat Puan bagaimanakah, permintaan terhadap perkhidmatan ubah suai rumah di Malaysia sekarang?
Ia bukan sekadar pendapat, malah dari pengalaman saya sendiri hingga ke hari ini, permintaan terhadap ubah suai kediaman sangat hebat. Hampir kesemua pemilik rumah ingin mengubah suai kediaman mereka. Kebanyakkannya dari pemilik yang membeli rumah siap dari pemaju. Namun ianya adalah mustahil bagi penghuni di putrajaya kerana di putrajaya pemilik tidak dibenarkan membuat ubahsuai kediaman sama sekali bagi mengekalkan bentuk asal dan keharmornian rupabentuk keseluruhan kejiranan. Malahan warna cat di luar rumah juga tidak boleh diubah. Tidak hairanlah putrajaya kelihatan seragam dan harmoni.
Menyentuh soal ini, kebanyakkan pembeli rumah siap ingin mengubah kediaman mereka. Ini bermakna kediaman yang mereka beli :
a) tidak memenuhi kehendak dan keperluan mereka sekeluarga
b) tidak dapat menampung aktiviti yang dijalankan
c) tidak menepati citarasa
d) tidak dapat menampung penambhana ahli dan aktiviti keluarga
Ia nya banyak berlaku terhadap kurang selesa dengan :
a) saiz ruang sedia ada
b) posisi ruang , dinding dan bukaan
c) warna cat yang digunakan
d) bahan yang digunapakai
Jadi tidak hairanlah jika diihat pada sederet rumah teres di kejiranan lama, hampir kesemua unit melakukan aktiviti mengubah suai rumah dengan bermacam gaya dan rupa. Namun dinasihatkan sebarang aktiviti ubahsuai ini mendapat kelulusan majis dan menggunakan khidmat pakar bagi mengelakkan risiko bahaya.
6) Apakah tips mengenai ubah suai rumah yang boleh Puan kongsikan?
Untuk tips ubah suai ini sebenarnya banyak sangat untuk dikongsikan. Namun pembaca sekalian boleh terus menerus mendapatkan tips dari blog saya :
khairunnisahamzahara.blogspot.com dari masa ke semasa.
Baiklah, saya kongsikan 10 Tips ubah suai rumah untuk semua pembaca di sini:
1. Tahu syarat-syarat ubah suai di lokasi
2. Upah mereka yang bertauliah
3. Google gambar-gambar ruang dan kediaman yang disukai
4. Rajin baca majalah kediaman
5. Rajin melawat rumah contoh pemaju
6. Rajin melawat rumah orang lain
7. Senaraikan kebaikkan dan keburukan menambah atau menutup ruang tersebut
8. Kenalpasti kapasiti penggunaan ruang sebaiknya
9. kenal pasti aktiviti yang akan dilakukan
10. Pilih bahan, rekabentuk, dan warna yang sesuai utuk setiap ruang bagi keselesaan menggunakannya dan menjalankan aktiviti padanya
7) Adakah ubah suai rumah boleh dilakukan pada semua jenis kediaman terutama rumah bertingkat?
Untuk membuat ubahsuai kediaman perlu bertanya pada pihak berkuasa terlebih dahulu. Bagi kejiranan yang tidak mempunyai pihak pengurusan boleh bertanya terus pada majlis tempatan. kerana ada majlis tempatan yang wajibkan untuk dapatkan kelulusan walau hanya pada pemasangan Grill. Bagi kejiranan yang mempunyai pihak pengurusan, perlu bertanya kepada pihak pengurusan akan syarat - syaratnya. Kesimpulannya kesemua syarat yang dikenakan adalah untuk mengelakkan masalah yang bakal timbul terhadap isu keselamatan dan isu kejiranan. Perlu juga mengisi borang -borang tertentu seperti borang kebenaran jiran. Ini kerana selalu berlaku aduan dari jiran yang merasakan tergangu terhadap kerja di rumah sebelah yang memakan masa berbulan lamanya. Anak kecil tidak dapat tidur dengan bunyi bising dan ada bahan buangan masuk ke kawasan jiran sebelah. Jika ini berlaku pemilik boleh dikenakan tindakan dan denda. Jangan pelik jika ada kejiranan hanya hanya menetapkan pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang sahaja waktu kerja ubah suai (orang pergi pejabat) dan tidak dibenarkan kerja di hujung minggu.
Walau apa pun nasihat saya, dapatkan nasihat mereka yang pakar sebelum membuat kerja ubah suai kediaman. Ini bagi memastikan semua hak terpelihara. Jika ada yang mahu dapatkan khidmat nasihat dan rekabentuk dari saya, saya alu-alukan dan saya juga ada menghasilkan sebuah ebook untuk bacaan orang ramai iaitu Panduan Kediaman Pertamaku . Jika ingin mendapatkannya boleh hubungi saya. Insyaallah. Akhir kata, hiasilah kediaman, hiasilah peribadi
Sumber : https://khairunnisahamzahara.blogspot.com/2014/03/perkara-perlu-tahu-sebelum-ubah-suai.html
No comments:
Post a Comment