Translate

Friday, February 15, 2019

Kos Perkhidmatan Pihak Majlis Untuk Kelulusan Ubahsuai Rumah

NOTE: *** Rujuk Majlis 

Berapakah bayaran yang dikenakan oleh pihak majlis untuk proses kelulusan pelan ubahsuai rumah?
Setiap majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan agak berbeza kos bayaran memproses pelan ubahsuai rumah. Di sini saya akan bincangkan kos perkhidmatan memproses kelulusan pelan ubahsuai rumah di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Setelah anda melantik akitek/perunding dan pelan telah siap untuk dikemukakan ke pihak majlis, anda perlu sediakan sejumlah wang untuk membayar khidmat memproses pelan oleh MBSA dan deposit perkhidmatan tong sampah sisa binaan (tong roro) oleh Alam Flora. Wang anda akan digunakan untuk membayar;

a. Bil proses pelan ubahsuai rumah (bergantung pada keluasan tambahan rumah)
Anggaran bil ini adalah antara RM150 hingga RM300. Jumlah bil ini adalah tertakluk kepada keluasan tambahan/ubahsuai rumah. Pelan yang dikemukakan akan disemak keluasannya dan bil akan dikeluarkan setelah pengesahan ke atas pelan dilakukan oleh pegawai/juruteknik bertugas. Biasanya akitek/perunding anda akan membuat temujanji awal bersama pegawai 'in-charge' kawasan/seksyen perumahan anda untuk semakan draf plan dan membuat kiraan bil. Ini memudahkan anda menyediakan wang untuk pembayaran bil proses pelan.

b. Bil permit letak bahan binaan (harga tetap)
Bil ini adalah tetap dan jumlahnya ialah RM324 serta tidak boleh dituntut semula.

c. Bil deposit pelan (harga tetap)
Bil ini adalah tetap dan jumlahnya ialah RM500. Ia adalah sebagai cagaran kepada pelan rumah anda untuk memastikan kerja-kerja ubahsuai mengikut kelulusan dan garispanduan yang ditetapkan. Anda boleh menuntut semula cagaran pelan ini setelah rumah anda siap dibina.

d. Bil deposit permit bahan binaan (harga tetap)
Bil ini adalah tetap dan jumlahnya ialah RM200. Ia adalah sebagai cagaran kepada kerja-kerja ubahsuai dan tempat letak bahan binaan yang dibenarkan oleh pihak majlis berhampiran rumah anda. Anda boleh menuntut semula cagaran permit bahan binaan ini setelah rumah anda siap dibina dan sisa bahan binaan dibersihkan.

Bayaran Deposit Tong RORO Alamflora
Alamflora telah dilantik oleh MBSA sebagai kontraktor pembekal tong roro, jadi anda perlu menyediakan deposit sebanyak RM1000 untuk perkhidmatan/sewaan tong roro. Alamflora akan memotong sebanyak RM270 untuk sekali penggunaan/sewa tong roro termasuk kos hantar dan ambil sisa bahan binaan.
Jika anda menggunakan 2 kali perkhidmatan tong roro, maka kosnya adalah RM540 dan baki RM460 boleh dituntut semula setelah rumah siap dibina dan dibersihkan dari sisa bahan binaan.

Bagaimana untuk membuat tuntutan semula deposit pelan MBSA dan Alamflora?

Tuntutan deposit pelan dan permit MBSA (Jumlah RM700)
- Ambil borang 'claim deposit' di kaunter 1, Jabatan Bangunan MBSA, tingkat 8
- isi dan sediakan semua salinan dokumen seperti yang diminta dalam borang tersebut
- hantar semua dokumen yang diminta bersama borang ke kaunter yang sama
- pastikan anda membuat salinan borang dan minta petugas kaunter mengecop serta mengesahkan penerimaan dokumen/borang anda. Ini untuk memudahkan anda 'follow-up' proses tuntutan cagaran tersebut.
- jika tiada masalah, dalam tempoh 1 hingga 2 bulan, anda akan terima surat dari MBSA untuk mengambil cek wang cagaran anda. Suka dimaklumkan bahawa MBSA akan membuat lawatan ke rumah anda untuk membuat pemeriksaan tapak sebagai prosedur meluluskan tuntutan cagaran anda.

Tuntutan baki deposit dari Alamflora.
- isi borang tuntutan baki yang telah diberi semasa bayaran awal
- bawa resit bayaran dan borang ke pejabat Alamflora di seksyen 7, Shah Alam, alamatnya ada di resit anda
- kemukakan semua dokumen/borang/resit berkaitan di kaunter
- pastikan anda membuat salinan borang dan minta petugas kaunter mengecop serta mengesahkan penerimaan dokumen/borang anda untuk membuat 'follow-up' proses tuntutan baki cagaran tersebut.

No comments:

Post a Comment

Translate