Translate

Wednesday, May 10, 2017

Arkitek dan Jurutera Awam (pembinaan bangunan) sama tapi tak serupa

Kekeliruan orang ramai terhadap kerja ARKITEK dan JURUTERA AWAM (pembinaan bangunan) memang dah jadi kebiasaan bagi saya. Sedangkan mama saya yang mempunyai anak seorang Jurutera pun masih keliru dengan peranan antara jurutera awam dan arkitek.

" Siapalah jurutera yang buat ni. Letak kedudukan pintu tak strategik. "
" Mama, yang tentukan kedudukan pintu tu bukan jurutera tapi arkitek."

Penuh keyakinan mama mempersalahkan jurutera.
*saya pun keliru nak sedih ke nak gelakkan*

Saya tak salahkan mereka yang selalu salah tanggap.
Masih ada yang keliru antara kerja Arkitek dan Jurutera Awam (pembinaan bangunan).
Ada juga adik-adik yang bertanya, "Kak apa bezanya antara Jurutera Awam dengan Arkitek ?"

Arkitek dan Jurutera Awam (pembinaan bangunan) bekerja di bidang yang sama tapi tugas kerjanya berbeza.
1) Kedudukan

Di dalam carta aliran pembinaan, Arkitek berada paling atas selepas pemaju (tuan empunya bangunan atau tanah). Arkitek bertanggungjawab menyelaras pakar-pakar dalam rekabentuk struktur, mekanik dan elektrik.
Selepas Arkitek barulah Jurutera Perunding dan Kontraktor.
Makna kata lain, bayaran Arkitek lagi tinggi daripada Jurutera Awam. Ops! Kalau nak tahu bayaran tinggi atau tidak, tanyalah Arkitek. Hehehe ...
2) Merekabentuk

Tugas seorang arkitek ialah merekabentuk sesuatu bangunan bersesuaian dengan kehendak serta keperluan pelangan dan memenuhi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Arkitek akan menganalisis keperluan pelanggan dan lokasi yang dicadangkan sebelum menyediakan lukisan-lukisan lakaran berdasarkan konsep rekabentuk bangunan yang sesuai.
Tugas seorang Jurutera Awam (pembinaan) pula ialah merekabentuk sesuatu struktur bangunan mengikut rekabentuk bangunan yang telah dibuat oleh arkitek dengan mengambil kira faktor keselamatan.

3) Pengeluaran

Arkitek bertanggungjawab menyediakan pelan rekabentuk bangunan untuk kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Seterusnya, Jurutera Awam akan menyediakan lukisan perincian struktur bangunan untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan.

4) Pengawasan
Arkitek juga seperti Jurutera Awam yang perlu mengawasi dan menyelia kerja semasa pembinaan. Perbezaannya adalah Arkitek akan bertindak sebagai ketua kumpulan dan menyelaras tugas pakar-pakar yang terlibat termasuk kontraktor-kontraktor. Arkitek juga merupakan orang tengah antara pemaju dengan Jurutera Awam atau kontraktor untuk hal-hal seperti pembayaran. Tugas Jurutera Awam pula melibatkan tinjauan ke tapak binaan bagi memastikan sesuatu projek selamat. Jurutera awam perlu ada kemahiran menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pengetahuan tentang kerja-kerja pembinaan. 

Faham tak apa yang saya telah terangkan ?
Ok ya ... Setakat itu sahaja pembelajaran kita pada kali ini. Hehehe...

Maafkan saya jika ada salah silap. Saya risau juga kalau ada arkitek yang baca.

No comments:

Post a Comment

Translate